Thursday, 23 April 2026

Tragedi Banjir Perlis 2025: Antara Realiti Hidrologi dan Kesiapsiagaan Bencana

Pengenalan

Pada hujung bulan November 2025, negeri Perlis mengalami satu episod banjir besar yang dicetuskan oleh hujan lebat berterusan melebihi purata monsun biasa. Berdasarkan pemerhatian peribadi dan kefahaman asas hidrologi, kejadian ini menunjukkan gabungan faktor meteorologi dan hidrologi yang luar biasa. Intensiti hujan yang tinggi dalam tempoh singkat, ketepuan tanah (soil saturation) yang hampir maksimum, serta kapasiti saliran semula jadi yang terhad menyebabkan aliran permukaan (surface runoff) meningkat secara mendadak.

Permulaan Banjir

Pada peringkat awal, hujan yang turun selama beberapa hari sekadar kelihatan seperti keadaan hujan musim monsun yang tipikal. Namun, menjelang malam, paras air mula meningkat dengan cepat di kawasan kediaman. Kenaikan ini selari dengan fenomena hidrologi di mana permukaan tanah tidak lagi dapat menyerap isipadu hujan berikutan profil tanah yang sudah tepu. Hampir keseluruhan hujan yang turun bertukar menjadi aliran permukaan. Dalam masa beberapa jam sahaja, jalan-jalan utama mula ditenggelami air, memberikan isyarat jelas bahawa sistem saliran sedia ada telah gagal menampung kapasiti air yang terlalu tinggi. Daripada Bernama (24 November 2025), beberapa jalan di Perlis ditutup sementara kerana terjejas dengan banjir akibat hujan yang berterusan.

Menurut jiran dan penduduk sekitar, kawasan kediaman saya tidak dinaiki air semasa banjir besar di Perlis pada tahun 2010. Berbekalkan maklumat tersebut, saya pada mulanya tidak berasa terlalu cemas apabila hujan berterusan melanda. Saya bersangka baik bahawa kejadian banjir kali ini tidak akan melimpah masuk ke rumah, biarpun kediaman saya terletak bersebelahan dengan Kampung Bakau, dimana kampung ini menjadi sebuah 'kawasan panas' yang sering terjejas dengan insiden banjir.

 

Kawasan Kampung Bakau (kanan gambar) dan Kampung Sena (kiri) ditenggelami banjir. Foto dron dirakam oleh penulis pada 25 November 2025.


Dari sudut topografi, lokasi Kampung Bakau terletak di kawasan tanah rendah dan menjadi titik pertemuan (confluence) antara dua batang sungai utama, iaitu Sungai Repoh dan Sungai Arau. Walaupun kampung tersebut telah pun dinaik taraf sistem salirannya dan memiliki kolam tadahan banjir, insiden hujan berterusan di seluruh Perlis beserta curahan air dari kawasan tanah tinggi menyebabkan infrastruktur di situ gagal. Sistem saliran gagal menampung limpahan air sungai yang ekstrem. Melihat kawasan Kampung Bakau yang sudah tenggelam beberapa hari dan hujan yang masih enggan berhenti, debaran mula terasa. Saya bimbang air akan mengalir terus ke kediaman saya.

Bak kata pepatah, "Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari." Andaian saya bahawa kediaman ini kebal banjir ternyata meleset. Apabila air mula menerobos masuk, saya dan keluarga bertindak serta-merta mengalihkan dokumen penting, peralatan elektronik, dan barangan kritikal ke tempat yang lebih tinggi. Walaupun kami cuba mengekalkan ketenangan, situasi beransur cemas apabila paras air terus meningkat tanpa sebarang tanda surut.

 

Kawasan rumah dan Taman Bakau Emas yang sudah tenggelam dengan air banjir. Foto dirakam oleh penulis 26 November 2025

Semasa Banjir

Menyedari kawasan tempat letak kereta berada sejengkal lebih rendah dari paras lantai rumah, dimana air banjir sudah lama menakung, saya terpaksa mengalihkan kenderaan segera ke kawasan yang lebih tinggi. Saya amat bersyukur kereta saya mempunyai jarak lega bumi (ground clearance) yang memadai, membolehkan kami meredah kawasan banjir yang agak dalam di sepanjang lorong taman. Di sesetengah kawasan taman kami, paras air sudah mencecah pinggang. Malah di Kampung Bakau, terdapat rumah yang tenggelam sehingga hampir ke paras siling. Situasi ini memaksa kami untuk bergegas berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Mencari PPS pada waktu krisis bukanlah urusan yang mudah. Disebabkan ketiadaan pengalaman berdepan kecemasan ini, kami tercari-cari arah tujuan. Namun, di saat sukar inilah saya melihat sendiri nilai solidariti Masyarakat dimana komuniti setempat saling membantu, berkongsi sumber, dan menyalurkan sokongan moral. Melalui kumpulan WhatsApp, ramai menyarankan agar kami merujuk ke beberapa PPS berhampiran. Selepas mendapati semuanya penuh, kami akhirnya diarahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Putra, Bintong, yang terletak agak jauh dari kediaman kami.

Kami bernasib baik kerana mempunyai kenderaan sendiri. Bagi penduduk yang tiada pengangkutan, banyak NGO serta jentera kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan JKM yang bertungkus-lumus membantu memindahkan mangsa ke PPS yang masih berkapasiti.

Di PPS, sistem pendaftarannya sangat teratur. Kami diminta memuat turun aplikasi pengurusan bencana (MyIBJKM) dan mengimbas kod QR unik bagi tujuan check-in pendaftaran mangsa. Ini satu inisiatif pendigitalan NADMA dan JKM yang memastikan penyaluran bantuan lebih efisien. Kami diperuntukkan ruang khemah sebagai penempatan sementara. Kebajikan kami sangat terjaga dimana makan dan minum disediakan secara berkala dan memuaskan. Kami juga dibekalkan dengan barangan asas seperti bantal, selimut, dan pakaian, yang sedikit sebanyak memulangkan rasa selesa dan tenang buat kami sekeluarga.

Antaramuka applikasi MyIBJKM. Tangkapan skrin daripada telefon penulis pada 27 November 2025

Menyimpan semula khemah untuk diserahkan kepada urus setia PPS semasa proses keluar (check-out). Foto dirakam oleh penulis pada 29 November 2025.


Pasca-Banjir

Selepas tiga hari berlindung di PPS, langit kembali cerah dan air mula surut. Kami mendaftar keluar dan pulang ke rumah untuk menilai kerosakan. Kesan lumpur tebal, sampah-sarap yang hanyut, serta tanda aras air pada dinding menjadi monumen bisu betapa besarnya magnitud bencana kali ini. Luluh hati melihat keadaan kawasan luar rumah yang berantakan.

Syukur rezeki masih menyebelahi kami, tidak banyak perabot yang musnah. Cuma sebahagian bucu perabot yang terendam air menjadi kembung, manakala perabot yang berasaskan kayu lembut dan papan lapis (plywood) kebanyakannya mereput dan runtuh. Menurut sumber daripada BERNAMA (13 Disember 2025), anggaran keseluruhan kerugian akibat banjir di Perlis yang bermula penghujung November dianggarkan berjumlah RM150 juta membabitkan kerosakan infrastruktur, kediaman, pertanian, ekonomi setempat, kemudahan awam serta sektor pendidikan. Walaupun proses pembersihan menuntut masa dan kudrat yang besar, saya tetap memanjatkan kesyukuran kerana seluruh keluarga terselamat tanpa kecederaan. Banyak bantuan pasca-banjir yang kami terima daripada pihak JKM, NADMA, dan juga sumbangan ihsan orang awam.

Kesimpulan

Kejadian pada November 2025 ini menjadi satu peringatan kritikal tentang keperluan negara meningkatkan kesiapsiagaan bencana, memperkukuh sistem amaran awal, serta menilai semula kapasiti infrastruktur saliran mitigasi banjir secara menyeluruh. Banjir ini bukan sekadar fenomena alam biasa, tetapi satu teguran yang menegaskan betapa pentingnya ilmu hidrologi, perancangan bandar berasaskan data, serta kesatuan masyarakat dalam mendepani saat getir.

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua; orang awam, barisan NGO, serta pihak kerajaan terutamanya APM, NADMA, dan JKM yang menyantuni mangsa tanpa mengira latar belakang, darjat, mahupun agama. Semoga insiden ini menjadi titik tolak buat saya untuk melangkah lebih jauh dalam menyumbang khidmat nasihat dan kepakaran perundingan bagi mencegah kemelut rantaian banjir daripada terus berulang.

 

Monday, 13 April 2026

Lawatan Sekitar Fasiliti Empangan Bukit Merah, Kerian

Lawatan bersama pelajar FYP dan PhD seliaan saya ke Empangan Bukit Merah telah diadakan pada 13/4/2025. Terima kasih pada JPS Daerah Kerian, terutama YBrs. Ir. Ts. Mohamad Syamsul Hizham (jurutera awam), serta YBrs. En. Mior, yang memberi taklimat dan menyantuni kami sepanjang lawatan ini. 

Objektif lawatan ini bagi memberi peluang kepada pelajar saya, terutama pelajar FYP yang membuat pemodelan di kawasan tadahan Empangan Bukit Merah, pendedahan kepada operasi sistem empangan serta melihat fasiliti dan struktur hidraulik yang ada di empangan tersebut.

Terima kasih JPS Kerian. Moga lawatan ini dapat memberi banyak input kepada pelajar saya, serta menjadi platform dan hubungan permulaan kepada kerjasama penyelidikan yang lebih berimpak dimasa hadapan nanti.

Moga budi dan baik, dibalas baik oleh Allah swt.

Alur limpah (spillway)

Perkongsian ilmu

Pintu kawalan (orifice)

Perbincangan 2

Aliran selepas pintu kawalan.

Struktur pintu kawalan @orifice @sluice gate

Terima kasih YBrs. Ir. Ts. Mohamad Syamsul Hizham yang menyantuni kami

Gambar selfi dengan semua pelajar dan YBrs. Ir. Ts. Mohamad Syamsul Hizham